10 TIPS PENULISAN ARTIKEL BERPENGARUH - Bisnes Online Sebenar

Tuesday 7 February 2017

10 TIPS PENULISAN ARTIKEL BERPENGARUH



‘Ketahui Teknik Mudah Membuat Artikel Unik & Berkualiti Untuk Perniagaan Internet Yang Mampu Membuat Pembaca Anda Terpegun’


‘Adakah anda tahu menulis?’

Sudah tentu anda katakan, YA! Saya tahu menulis. Anda pasti pandai menulis kerana:

1.    Setiap masa anda ber’sms’ dengan rakan-rakan anda.
2.    Setiap hari anda gunakan emel dalam bertukar maklumat dengan rakan-rakan anda.
3.  Kebanyakkan tugas di pejabat, anda gunakan surat atau memo dalam menyampaikan sesuatu perkara di antara pekerja.
4.    Waktu di sekolah dahulu, anda biasa membuat karangan bagi matapelajaran bahasa Melayu dan bahasa Inggeris.

Tetapi, adakah setiap yang anda tulis berjaya menarik perhatian para pembaca?

Inilah masalah dan cabaran yang rata-rata dihadapi oleh pemilik sesebuah laman web atau blog. Dalam membina laman web, blog, pengiklanan atau newsletter, untuk mendapat perhatian dari pengguna-pengguna internet, anda perlu menulis artikel yang original. Bukannya mendapatkan (copy & paste) artikel daripada direktori artikel seperti ezinearticle.com atau goarticles.com dan lain-lain.

Saya mengatakan sedemikian kerana itulah cara yang paling mudah dalam membina empayar perniagaan internet anda. Perkara ini bukan lagi rahsia bagi para usahawan internet. Mereka tahu bahawa ‘content is king’. Ya.. Pengisian yang anda lakukan terhadap laman web atau blog adalah segala-galanya. Artikel yang anda muatkan di laman web atau blog bakal menjadikan anda raja bagi sesuatu bidang. 

Secara tidak langsung, artikel yang ditulis dapat menarik pengguna-pengguna internet untuk mengunjungi laman-laman web atau blog anda. Pada masa yang sama, anda juga akan berjaya membina satu pemasaran berangkai (viral marketing) untuk perniagaan anda dalam jangka masa yang panjang. Ini kerana, apabila anda publish sesebuah artikel, ia akan kekal di alam maya sehingga anda sendiri yang menanggalkannya. Apa yang perlu anda lakukan hanyalah menulis artikel dan publish.   

Untuk menulis sebuah artikel yang penuh informasi, anda perlu berfikiran postif, bijak mengaplikasikan keadaan dan sentiasa bermotivasi. Bukannya terus menganggap menulis artikel hanya anugerah yang dimiliki oleh seseorang (contoh: wartawan). Menulis artikel bukanlah satu seni tetapi merupakan satu aktiviti yang menyeronokkan. Oleh itu, saya ingin maklumkan pengertian artikel seperti di bawah:

‘Artikel adalah sebuah karangan pendek yang padat dengan informasi berkenaan sesuatu perkara. Ia ditulis dan diolah dalam menyatakan idea atau konsep dengan penuh bermaklumat, bermakna dan menghiburkan’.

Perhatikan perkataan informasi dalam pengertian di atas; fungsi artikel adalah untuk memberitahu sesuatu perkara yang berinformasi kepada pembaca. Sebab itulah anda harus menulis sendiri artikel bagi kandungan laman web atau blog. Ini kerana, informasi yang ingin anda sampaikan lebih mudah difahami jika ditulis sendiri. Bukan dengan cara mengupah penulis upahan. Jangan dibazirkan wang anda dalam membuat kerja-kerja mudah ini.

Tanpa berlengah lagi, saya akan tunjukkan kepada anda dengan terperinci, bagaimana menulis sebuah artikel hebat yang dapat membuat para pembaca terpegun. 



TIP #1: Tujuan Menulis Artikel

Perkara pertama yang perlu dititikberatkan dalam penulisan artikel, anda harus tetapkan tujuan anda dalam menyiapkan sesuatu artikel. Dalam erti kata lain, anda harus mempunyai objektif bagi artikel tersebut. Jika tidak ditetapkan objektif bagi artikel anda, dibimbangi anda akan tersasar dari perkara yang ingin dibincangkan.

Melalui penulisan artikel, jika anda fokus dengan objektif artikel yang ingin ditulis, anda akan berjaya dalam:

1.    Membina kredibiliti.
2.    Membina tahap professional.
3.    Membina tahap kepakaran.
4.    Mendapatkan traffik ke laman jualan atau blog.
5.    Mendapat keuntungan melalui maklumat yang dikongsi.
6.    Meraih pendapatan jika penulisan dijadikan bidang pilihan.
7.    Menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh pengguna internet.
8.    Dan banyak lagi yang dapat diperoleh hanya dengan menulis.

Saya ingin bincangkan sedikit berkenaan ‘Mendapatkan traffik ke laman jualan atau blog’.

Perkara ini jelas jika anda seorang usahawan internet. Penulisan artikel adalah antara sumber traffik percuma yang terbaik dalam memasarkan sesuatu perniagaan. Saya mengatakan sebegitu kerana penulisan artikel mampu membawa pembaca yang betul-betul berminat sahaja ke laman web atau blog anda. Perkara ini banyak berkaitan dengan enjin carian (contoh: google).

Untuk pengetahuan anda, enjin carian begitu sukakan artikel yang kaya dengan informasi. Jika anda sediakan artikel yang penuh dengan kata kunci dan berkait rapat dengan tajuk artikel, enjin carian pasti anugerahkan laman web atau blog anda dengan hit pembaca yang sangat tinggi. Jangan pula anda tulis artikel untuk dapatkan hit yang tinggi daripada enjin carian sahaja, tetapi tulislah untuk pembaca yang inginkan informasi. Jika anda tulis artikel dengan tujuan untuk menarik traffik semata-mata, saya yakin, hit tinggi yang anda terima tadi, akan menyusut sedikit demi sedikit.

Untuk lebih fokus dalam penulisan artikel, tulislah perkara yang betul-betul anda minati. Contohnya: Anda mempunyai minat dengan permainan bola sepak atau hal-hal memasak atau apa sahaja, tulislah perkara yang diminati dengan penuh pengetahuan. Jika anda tulis sebegitu, saya pasti anda akan berjaya untuk menulis dengan lebih bertujuan dan berobjektif.     

     

TIP #2: Idea Untuk Menulis Artikel

Selepas anda tetapkan tujuan, anda perlu mencari idea untuk menulis artikel. Idea yang saya maksudkan di sini adalah isi kandungan yang akan ditulis bagi artikel anda kelak. Untuk menulis sebuah artikel informasi, anda wajib membuat kajian terlebih dahulu. Tetapi, apakah cara yang betul dalam membuat kajian ini?

Saya banyak menjadi subscriber kepada penulis artikel antarabangsa. Mereka sentiasa mencadangkan kepada saya supaya sentiasa mendapatkan idea daripada laman web Amazon, Ebay, Clickbank, RSS Feeder dan direktori artikel. Masalahnya, adakah idea daripada laman-laman tersebut dapat diselaraskan dengan pasaran tempatan?

Jawapan saya, sudah tentu anda boleh selaraskan dengan pasaran tempatan. Ingat lagi dengan ayat pengenalan saya di atas, saya ada sebutkan, anda wajar bijak dalam mengaplikasikan keadaan. Oleh itu, saya cadangkan juga untuk anda dapatkan idea daripada laman-laman tersebut.

Saya tidak berminat untuk bincangkan dengan lebih lanjut berkenaan mencari idea dari laman-laman di atas. Ini kerana, saya tahu anda pasti akan menghadapi masalah dalam mengaplikasikan idea daripada laman tersebut. Saya akan berikan anda cara yang lebih mudah dalam mendapatkan idea untuk artikel anda.

Caranya, anda perlu luangkan 5-15 minit dalam sehari untuk membuat kajian dan bacaan di sumber-sumber berikut:

1.    Forum-forum (contoh: WangCyber, CariGold).
2.    Blog-blog (contoh: AmboAzhan, TutorialNewbie).
3.    Suratkhabar Tempatan (contoh: Berita Harian).
4.    Majalah tempatan (contoh: Majalah terbitan Karangkraf).

Dengan membuat kajian di forum, blog, suratkhabar dan majalah, hasil kajian anda akan lebih fokus kepada pasaran tempatan sahaja. Anda tidak perlu mengaplikasikan keadaan lagi. Malah, anda akan berjaya hasilkan artikel untuk pencari-pencari informasi yang malas dalam mendapatkan informasi dari sumber-sumber di atas.

Katakan anda ingin menulis artikel berkenaan ‘Cara Buat Duit Melalui Blog’. Hal ini banyak dibincangkan dari sumber-sumber di atas. Anda hanya perlu dapatkan kesemua idea cara buat duit melalui blog itu dan gabungkan idea tersebut untuk membentuk sebuah artikel.

Jangan pula anda copy & paste sahaja idea yang telah didapatkan. Tetapi, olahlah idea-idea tersebut mengikut kreativiti masing-masing. Jika terdapat masalah dibincangkan dari idea tersebut, cuba berikan pendapat anda untuk selesaikan masalah yang berkenaan. Dengan membantu menyelesaikan masalah yang dibincangkan, saya yakin, para pembaca akan kembali mencari anda dalam membantu menyelesaikan masalah mereka yang berkaitan pula J.

Jika anda masih baru dalam penulisan artikel, saya galakkan supaya anda gunakan isi-isi yang terdapat dalam e-book ini sebagai idea permulaan dalam menulis artikel pertama anda.        
 



TIP #3: Tajuk Untuk Artikel

Dalam penulisan artikel, tajuk adalah bahagian yang paling penting sekali. Ingat!! Paling PENTING sekali. Saya tekankan sebegitu kerana; tajuklah yang akan dibaca oleh pembaca terlebih dahulu apabila terjumpa artikel tulisan anda.

Tajuk adalah headline bagi sesebuah artikel, bukannya ayat pertama yang terkandung dalam artikel anda. Tajuk juga adalah rumusan awal bagi isi kandungan artikel anda. Selepas pembaca membaca tajuk sesebuah artikel, dalam sesaat dua, mereka akan segera membuat keputusan sama ada ingin teruskan bacaan atau tidak.

Jika mereka membuat keputusan untuk tidak teruskan bacaan, ini bermakna, tajuk yang direka telah gagal dalam memberi gambaran terhadap isi kandungan artikel anda. Jika hal sebegini terjadi, ubahlah tajuk artikel anda itu.

Untuk mengetahui adakah tajuk artikel anda menarik atau tidak, tanyakan kepada rakan-rakan anda. Minta mereka untuk memberi komen terhadap tajuk artikel anda itu. Jika mereka katakan tajuk anda kurang menyengat, minta pula pandangan dan cadangan mereka supaya anda dapat maksimumkan keberkesanan tajuk terhadap minda pembaca.

Terdapat DUA kaedah untuk memberikan tajuk kepada artikel. Sama ada tajuk dalam bentuk pemberitahuan (contoh: Teknik Mudah Siapkan Produk Dalam 24 Jam) atau soalan (contoh: Adakah Anda Serius Dalam Jana Duit Melalui Adsense?). Tidak kiralah apa jua pilihan anda dalam memberi tajuk, tetapi ia mestilah selaras dengan objektif artikel anda.

Tajuk yang diberi pula mestilah relevan dengan isi artikel anda. Jika tidak relevan, sudah pasti pembaca akan hilang tumpuan dan tinggalkan artikel anda tanpa memanfaatkannya. Cuba anda baca dengan teliti setiap topik-topik yang terdapat dalam e-book ini, adakah topik-topik yang disampaikan tidak relevan dengan tajuk e-book? Saya pasti anda tahu jawapannya.

Tajuk yang baik adalah tajuk yang tidak menunjukkan unsur-unsur jualan. Contoh: Dapatkan Teknik Hebat Buat E-book Sekarang. Jika anda menulis tajuk artikel sebegitu rupa, ia menggambarkan anda hanya ingin membuat promosi terhadap sesuatu produk sahaja. Para pembaca mungkin membaca artikel anda tetapi tidak begitu teruja untuk menghabiskan bacaan mereka.

Saya cadangkan, tulislah tajuk yang menunjukkan anda ingin berkongsi ilmu. Contoh: Teknik Hebat Buat E-book, Saya Senaraikan Caranya Di Sini. Cuba anda perhatikan, saya hanya ubahkan sedikit tajuk artikel itu supaya ia menunjukkan anda sedang membuat satu perkongsian ilmu. Dengan menulis tajuk sebegini, pembaca pasti akan membuat bacaan sehingga ke ayat terakhir artikel anda.

Saya juga yakin, jika anda meletakkan link laman jualan di hujung artikel, dan anda meminta supaya pembaca mengunjungi laman jualan tersebut, mereka pasti akan berbuat demikian dan membuat belian di sana.




TIP #4: Isi Kandungan Artikel

Selepas anda memberi penekanan terhadap tajuk artikel, perkara kedua yang penting dalam penulisan artikel adalah isi kandungan. Di sinilah terletaknya ‘content is king’ itu. Pada pendapat saya, sebanyak 90% pembaca akan membaca artikel anda yang lain jika isi artikel pertama yang dibaca sangat membantu dan bermutu. Oleh itu, tulislah isi artikel anda dengan penuh berinformasi dan bersahaja.

Pecahkan isi artikel anda kepada TIGA bahagian:

1.    Perenggan pengenalan topik – Pada perenggan ini, anda perkenalkan topik yang ingin disampaikan. Jika terdapat pengertian yang perlu dimasukkan, berikan pengertian tersebut di sini. 
2.    Perenggan sokongan topik – Untuk perenggan ini, berikan isi tersirat bagi menyokong ayat anda pada perenggan pengenalan.  
3.    Perenggan kesimpulan topik – Akhir sekali, rumuskan topik yang anda tuliskan. Nyatakan sama ada topik yang disampaikan bagus atau berjaya atau gagal dan lain-lain. 

Isi artikel haruslah relevan dengan tajuk artikel anda. Isi artikel juga mestilah memberi jawapan kepada tajuk artikel yang diberi. Jika artikel anda bertajuk ‘Cara Mudah Buat Duit Di Internet’, anda harus senaraikan sebanyak mungkin cara buat di internet itu. Manakala, jika artikel anda bertajuk ‘Lima Cara Mudah Duit Di internet’, anda sepatutnya berikan lima idea sahaja cara buat duit itu. Jawab tajuk artikel supaya tujuan anda tidak tersasar dan penulisan anda juga tidak terpesong.

Sekiranya tajuk anda menjanjikan sesuatu yang mudah seperti contoh di atas, berikan cara mudah sahaja. Jangan diterangkan atau sebutkan cara kompleks dan sukar dalam artikel anda. Jika anda berikan juga cara kompleks dan sukar itu:

Pertama: Anda sudah tersasar dari tajuk artikel dan penulisan anda sudah tidak berfokus lagi.

Kedua: Pada masa akan datang, pembaca tidak akan merujuk artikel anda lagi berkaitan perkara yang dibincangkan. Mereka mungkin akan menganggap anda penipu. Ini kerana, anda tidak tunaikan janji berdasarkan tajuk artikel yang diberikan.  

Dalam penulisan artikel juga, tulislah seolah-olah anda sedang bercakap. Bayangkan anda sedang memberi ceramah atau ucapan di depan orang ramai, kemudian terjemahkan percakapan anda dalam bentuk tulisan. Biarkan isi artikel yang bercakap untuk anda. Untuk menulis sebegini dengan efektif, sila rujuk tip kelapan yang terdapat dalam e-book ini.

Walaupun anda menulis mengikut percakapan yang dilontarkan, jangan dilupakan hal-hal remeh berkaitan tatabahasa. Saya tahu, anda ingin bercakap melalui artikel yang ditulis. Tetapi, janganlah terlalu ghairah sehingga merosakkan pula tatabahasa. Jangan dikusutkan pemikiran pembaca dengan mengabaikan tatabahasa. Oleh itu, jagalah tatabahasa dalam penulisan. Kredibiliti anda sebagai penulis pasti akan diangkat oleh para pembaca jika anda menjaga tatabahasa dalam penulisan.   




TIP #5: Koheren & Kohesi Artikel

Adakah anda masih ingat berkenaan koheren dan kohesi yang dipelajari ketika berada di bangku sekolah dahulu? Jika anda sudah lupakan topik ini, anda perlu ingatkannya kembali kerana tip kelima ini diperlukan dalam membuat penyeragaman isi artikel.

Apakah koheren? Koheren bermaksud wujud kesinambungan antara satu ayat dengan ayat yang lain dalam sesebuah artikel supaya mudah difahami (dipetik dari Kamus Dewan Edisi Ketiga).

Apakah pula kohesi? Kohesi bermaksud wujud kekuatan atau kaitan melalui tarikan di antara satu ayat dengan ayat yang lain supaya bergabung (dipetik dari Kamus Dewan Edisi Ketiga).

Jika digabungkan kedua-duanya: Koheren dan kohesi dalam penulisan artikel bermaksud kesemua idea dalam setiap tulisan menyokong antara satu sama lain dan melaluinya akan memudahkan lagi pembaca untuk lebih faham tentang sesuatu perkara. Jika koheren dan kohesi tidak diaplikasikan, sudah tentu tulisan anda akan berterabur dan sukar untuk difahami oleh pembaca. Kesannya, kredibiliti anda sebagai penulis akan sedikit tercalar. Tentu anda tidak mahu perkara ini berlaku bukan? 

Untuk menulis dengan koheren dan kohesi, anda perlu membuat draf artikel terlebih dahulu. Saya mewujudkan koheren dan kohesi ini dengan membuat peta minda. Saya akan susun isi artikel mengikut turutan dan kembangkannya sedikit demi sedikit, supaya tulisan saya nanti lebih kemas dan teratur.

Caranya mudah sahaja, anda cuma perlu berbuat seperti ini:

1.    Jika tajuk artikel anda bertajuk ’10 Kaedah Paling Efektif Buat Duit’, amalkan penggunaan perkatan pertama, kedua, ketiga dan seterusnya.
2.    Jika artikel anda mempunyai contoh-contoh yang ingin digunakan, gunakanlah perkataan seperti contohnya, tambahan pula, contoh lain adalah, dan juga, dan lain-lain yang dirasakan sesuai.

Rujuk sahaja e-book saya ini. Saya membina peta minda yang penuh dahulu kemudian baru saya tulis dengan lengkap. Mengapa saya pilih peta minda sebagai medium untuk koheren dan kohesi? Sudah tentu disebabkan saya dapat jimatkan masa untuk menulis, ayat saya lebih tersusun dan objektif utama untuk e-book ini tidak tersasar.

Oleh itu, ciptalah koheren dan kohesi dalam penulisan anda. Juga, apabila pembaca mudah faham perkara yang anda cuba sampaikan, mereka pasti kagum dengan tulisan anda. Percayalah!          




TIP #6: Gambar Untuk Artikel

Untuk menambahkan lagi keberkesanan tulisan anda, saya cadangkan supaya anda sisipkan beberapa gambar ke dalam artikel anda. Hal ini dapat menambahkan keseronokan pembaca untuk membaca artikel anda.

Tetapi, letakkan gambar yang mempunyai hubungkait dengan artikel anda sahaja. Jika artikel anda bercerita tentang buat duit melalui blog, jangan pula anda meletakkan gambar seperti gambar kereta, gambar baju, gambar pinggan dan sebagainya.

Lebih koheren dan kohesi jika anda letakkan gambar screenshot akaun bank atau cek atau duit untuk artikel tersebut. Gambar seperti itu akan memberi satu kuasa psiko kepada pembaca supaya bertindak seperti yang anda tunjukkan.    

Saranan saya, jika boleh, jangan selitkan gambar pada setiap perenggan. Hal ini dapat terbitkan sedikit gangguan terhadap emosi pembaca. Jadi, letakkan gambar yang ingin dimuatkan pada setiap dua perenggan artikel anda.

Dengan menggunakan gambar juga, anda dapat menarik perhatian sesetengah pembaca yang tidak tertarik dengan tajuk artikel anda. Pembaca seperti ini akan ‘skim reading’ atau ‘skip’ atau ‘scan’ sahaja artikel anda itu.

Oleh itu, untuk menarik perhatian pembaca seperti ini, meletakkan gambar yang menarik di tengah-tengah artikel adalah jalan terbaik. Apabila mereka terlihat gambar itu, mereka pasti berhenti daripada ‘scan’ dan akan baca setiap perkataan yang cuba anda ingin sampaikan.  

Di bawah adalah contoh gambar jika anda ingin berkongsikan sesuatu tentang memancing. Jika anda seorang yang gemar memancing, dan ingin berkongsikan hasil tangkapan anda. Tangkaplah gambar ikan yang dikail pada posisi yang jelas dan terang. Dengan berbuat demikian, gambar anda pasti dapat menarik perhatian para pembaca dan membuatkan mereka terpegun!
  


TIP #7: Panjang Sesebuah Artikel

Kebiasaannya, disebabkan idea anda yang terlalu banyak dan mencurah-curah, anda telah menulis artikel yang sangat panjang. Anda tulis sehingga lapan ke sepuluh mukasurat panjangnya. Wah.. Dah boleh jadi e-book jika anda tulis sebanyak itu! Kesannya jika anda menulis terlalu panjang, pembaca akan merasa sedikit muak dan bosan dengan tulisan anda.

Pada pendapat saya, sebuah artikel biasa hanya perlu mempunyai 200 hingga 1500 patah perkataan dengan beberapa perenggan. Itu sudah cukup memadai dalam penulisan artikel. Jika anda tulis panjang-panjang, saya khuatir direktori artikel tidak menerima artikel anda nanti. Sebagai persiapan untuk tidak merasa susah dalam menulis, tuliskan jumlah patah perkataan artikel anda mengikut cadangan saya ini.     

Jika anda berniat juga untuk menulis dengan panjang, saya cadangkan supaya dipecah-pecahkan artikel anda menjadi sub-sub artikel yang berkaitan. Strateginya begini:

Andaikan tajuk artikel anda adalah ‘5 Tips Dalam Menjaga Hati Pelanggan’. Jadikan artikel ini sebagai artikel utama. Untuk artikel seterusnya, pecahkan artikel utama kepada lima sub artikel. Maksud saya, tip yang pertama dijadikan satu artikel, tip yang kedua dijadikan satu artikel, dan tip yang ketiga, keempat dan kelima juga dijadikan artikel yang lain.


 
TIP #8: Rakam Sebelum & Selepas Tulis Artikel

Untuk mula menulis sesebuah artikel, bagi seseorang yang tidak biasa melakukannya, saya pasti anda akan merasa kekok dan janggal. Yalah.. Dah lama tidak menulis, tiba-tiba ingin menulis semula. Pasti ia sesuatu yang agak sukar. Oleh itu, saya cadangkan kepada anda supaya rakam dahulu suara anda berkenaan perkara yang ingin ditulis.

Gunakan mp3 player atau telefon bimbit anda yang canggih-canggih itu untuk tujuan ini. Manfaatkan sepenuhnya teknologi yang anda miliki sekarang. Apabila anda rakam sebelum menulis, faedahnya seperti berikut:

1.    Anda berjaya mencipta sumber artikel yang original.
2.    Anda berjaya elakkan dari mengupah penulis upahan.
3.    Anda dapat jimatkan masa penulisan artikel.
4.    Anda mudahkan kerja-kerja penyusunan idea dan isi artikel.
5.    Anda dapat kurangkan kesalahan-kesalahan yang dibincangkan di tip kesepuluh.
6.    Anda dapat menulis seperti anda sedang bercakap sepenuhnya.
7.    Anda dapat menggunakan sumber ini secara percuma.

Selepas anda rakamkan suara anda, terus terjemahkan kelunakan suara anda itu kepada tulisan. Jangan ditangguh-tangguh kerana pada masa itu, idea anda sedang menggelegak diminta untuk dikeluarkan. Sejurus anda siap dengan penulisan itu, mulakan pula kerja-kerja editing dan review.

Bagi melakukan kerja-kerja review dengan lebih efektik dan efisien, rakam semula artikel yang telah siap ditulis. Bacakan artikel tersebut dan dengarkan semula. Dengan berbuat begini, anda dapat memeriksa terlebih dahulu sama ada artikel anda itu berjaya bercakap ataupun tidak. Kemudian, para pembaca pasti akan sentiasa berkunjung ke laman web atau blog anda.


 
TIP #9: Sebarkan Artikel

Setelah anda berjaya menyiapkan artikel anda, saya sarankan supaya disebarkan artikel anda itu. Maksud saya, anda perlu hantar artikel anda ke direktori artikel supaya umum mudah mencari hasil tulisan atau kajian anda itu. Dengan menghantar artikel anda ke direktori artikel, secara tidak langsung, laman web atau blog anda dapat:

1.    Membina satu sumber traffik yang percuma.
2.    Membuat backlink tanpa bersusah payah mempelajari teknik SEO (Searh Engine Optimization).
3.    Meningkatkan pagerank laman web atau blog anda.
4.    Membina pemasaran berangkai (viral marketing).

Dengan menghantar artikel anda ke direktori artikel juga, nama anda bakal dijumpai di merata-rata di alam maya ini. Bagaimana perkara ini boleh berlaku? Apabila seseorang pembaca berminat dengan tulisan anda, mereka pasti akan mengambil tulisan anda itu dan tepekkan ke laman web atau blog mereka. Jika terdapat 10 orang yang berbuat demikian, bukankah nama anda telah berjaya dinaikkan oleh para pembaca ini?

Untuk menjadikan perkara ini berlaku, anda wajib menyelitkan nama anda pada setiap artikel yang ingin dihantar ke direktori artikel. Tuliskan informasi anda seperti di bawah:

·         Penulis bagi artikel ini ialah <nama anda> dari <laman web atau blog anda>.
·         Notis: Jika anda berminat untuk menjadikan artikel ini sebagai isi laman web atau blog anda, sila sertakan nama penulis dan laman asal artikel ini. ATAU;
·         Notis: Jika anda berminat dengan tips dalam artikel di atas dan ingin tahu lebih lanjut, sila layari <laman web atau blog anda>. Ayat seperti ini digunakan jika anda bertujuan untuk mempromosikan sesuatu produk.   

Untuk pengetahuan anda, sebelum anda menghantar artikel ke direktori artikel, pastikan artikel anda adalah original, berkualiti dan penuh dengan informasi. Bukannya artikel yang menceritakan diri anda atau keluarga dan lain-lain. Saya meminta anda berbuat demikian kerana terdapat beratus-ratus penulis lagi yang turut menghantar artikel mereka ke direktori artikel ini. Oleh itu, pastikan terlebih dahulu artikel anda mempunyai ciri-ciri seperti yang dibincangkan. 

Di bawah ini, saya senaraikan beberapa direktori artikel yang sesuai dengan pasaran tempatan:

1.    Goarticles
2.    ArticleBase
3.    Malaysian Digg
4.    Negaraku
5.    MalaysiaStory
6.    Direktori Rezqi
7.    Forum-forum

Utuk pelajari lebih dengan lanjut berkenaan pemasaran artikel, dapatkan e-book Rahsia Pemasaran Artikel yang ditulis oleh saya di laman OTO (One Time Offer) Team UsahawanCyber.



TIP #10: Elakkan Kesilapan

Jika anda menganggap penulisan artikel boleh dilakukan secara sambil lewa, buanglah tanggapan itu kerana ia adalah salah. Saya begitu tekankan berkenaan gaya penulisan di blog saya kerana ramai usahawan internet tidak mempedulikan kesilapan-kesilapan di bawah. Bukankah anda ingin membuat para pembaca terpegun apabila mereka membaca tulisan anda? Oleh itu, Ingat!! Jangan dilakukan kesilapan-kesilapan seperti ini:

1.    Membuat kesalahan ejaan.
2.    Menggunakan istilah atau perkataan yang kompleks tanpa memberi penerangan.
3.    Mengaplikasikan tatabahasa yang salah dan terpesong.
4.    Menggunakan short-form dalam penulisan (contoh: yg, sy, p’niagaan dan lain-lain).
5.    Mengulang-ulang idea, ayat dan perkataan yang sama berkali-kali.
6.    Penyusunan isi artikel yang tidak teratur (koheren dan kohesi).
7.    Tidak menggunakan tanda noktah atau koma.

Terdapat banyak lagi kesilapan yang saya bincangkan di blog saya. Jika anda berminat, sila rujuk di sana untuk ketahui dengan lebih lanjut.

Alasan lain bagi kenapa anda harus elakkan dari melakukan kesilapan ini adalah, supaya direktori artikel tidak akan menolak artikel yang ingin dihantar. Jika pihak direktori artikel dapati anda telah melakukan salah satu dari kesalahan di atas, maka, mereka berhak untuk menolak artikel anda untuk disimpan dalam direktori yang disediakan.  Nasihat saya, amalkan sikap penulisan sempurna sebelum publish artikel anda ke direktori pilihan!!




KESIMPULAN

Penulisan artikel adalah sesuatu yang menguntungkan dalam perniagaan internet. Bahkan, membuat artikel adalah sesuatu yang mudah untuk dilakukan dan ianya percuma apabila melibatkan hal-hal pemasaran.

Buat masa ini, saya yakin anda sudah tahu cara-cara untuk menulis artikel yang boleh membuatkan pembaca terpegun. Jika anda belum dapat memahami perkara yang dibincangkan di sini, rehatkan minda anda dahulu dan cuba baca sekali lagi.

Oleh itu, perkara yang perlu dilakukan sekarang adalah mengambil tindakan. Dengan membaca informasi di sini sahaja tanpa sebarang tindakan tidak akan memberi perubahan dalam perniagaan internet anda.

Sekian, terima kasih.









No comments:

@templatesyard