Teknik Sempoi Tulis Surat Jualan - Bisnes Online Sebenar

Wednesday 8 February 2017

Teknik Sempoi Tulis Surat Jualan



Perniagaan online dan offline adalah berlainan dari segi pendekatan kepada bakal pembeli. 

Berikut adalah kelebihan yang ada pada perniagaan offline:


Pada perniagaan offline, anda boleh tanya apa yang pelanggan anda mahu. Anda boleh berikan apa yang pelanggan anda itu mahu. 

Ia berbeza dari perniagaan online di mana kita tidak tahu apa yang pelanggan itu mahu, jadi maklumat melalui surat jualan perlulah tepat dan menyeluruh supaya pelanggan tahu apa yang anda jual.

Dalam perniagaan offline, anda boleh tahu keadaan atau latar belakang pelanggan. Jadi, anda boleh approach mereka dengan menggunakan emosi dan cara yang sesuai bagi memikat bakal pelanggan anda. 

Ia berbeza dari perniagaan online di mana kita tidak tahu emosi semasa mereka yang membaca surat jualan. Maka, surat jualan haruslah memiliki tone dan nada yang sesuai untuk memikat mereka yang membaca surat jualan.

Dalam  perniagaan offline, pelanggan boleh nampak barang yang mereka beli. Jadi, ia agak mudah untuk mereka mengetahui keadaan sebenar barang yang mereka akan beli. 

Berbeza dari perniagaan online, pelanggan tidak nampak dengan jelas apa yang mereka beli. Jadi, surat jualan yang efektif perlu ada untuk menghuraikan kepada pelanggan mengenai keadaan barang yang anda jual itu.

Surat jualan yang efektif penting untuk:

Menyakinkan pelanggan anda untuk membeli dari website anda.
Membina hubungan dan kepercayaan dengan para pelanggan anda.
Memberitahu para pelanggan secara menyeluruh barang yang anda jual dan keperluan ia untuk di miliki oleh para pelanggan.

Kriteria yang menjadikan surat jualan itu hebat.

Surat jualan yang berkualiti adalah bukan terdiri dari pemberitahuan apa yang mereka hendak jual sahaja. Ia meliputi segala perkara yang boleh iaitu sejarah penubuhan produk, pengalaman si  pemilik produk, pengalaman orang lain dan penulisan secara teliti mengenai produk yang mereka jual itu. Setiap penulis surat jualan memiliki beberapa idea sendiri untuk melariskan produk yang mereka promosikan.

Ia bermula dari hati.

Kualiti adalah segalanya dalam menulis surat jualan. Untuk menjadikan sesuatu sales letter itu berkualiti, ia perlu di tulis menggunakan hati. Setiap perkataan yang di tulis hendaklah menyentuh hati dan perasaan mereka yang membacanya. Setiap kelebihan yang ada pada produk tersebut juga di tulis dengan penuh ikhlas dan boleh membuatkan si pembaca teruja untuk membeli produk yang di jual. Mengikut kajian, pembeli yang membeli melalui online adalah di sebabkan emosi, jadi penulisan surat jualan yang berkualiti mesti melibatkan emosi manusia.


Penulisan surat jualan  perlu tidak terlalu formal.

Surat jualan adalah seperti jurujual. Jadi, ia perlulah fleksibel. Anda tidak boleh terlalu formal ketika menulis surat jualan, ia haruslah di tulis seolah-olah anda sedang menceritakan sesuatu pada prospek anda. Jangan pedulikan tatabahasa kerana anda sedang menjual, bukannya mengambil peperiksaan.

Berikut adalah tips penggunaan bahasa di dalam penulisan surat jualan.

Gunakan bahasa yang tidak formal iaitu loghat tempatan jika ia bersesuaian.
Gunakan bahasa yang senang di fahami berbanding menggunakan ayat yang rumit dan susah.
Menggunakan peribahasa jika ia mampu memberi impak kepada surat jualan anda.
Gunakan perkataan yang sempoi dan boleh memberi perasaan teruja kepada para pembaca.

Walaubagaimanapun, di kala penggunaan bahasa yang agak sempoi, pastikan anda periksa perkara berikut untuk menjaga kredibilit anda sebagai penulis.

Periksa ejaan surat jualan anda, pastikan tiada yang tersilap ejaan pada surat jualan anda.
Jangan gunakan terlalu banyak huruf besar kerana di dalam minda pembaca, huruf besar bermakna anda sedang menjerit. Tentu ia akan mengelirukan pembaca yang menganggap anda selalu terjerit-jerit ketika mereka membaca surat jualan anda.
Jaga penggunaan tanda bacaan anda seperti tanda seru dan tanda soal. Jangan biarkan pembaca tersalah anggap dengan penulisan anda.

Panjang sesuatu surat jualan berdasarkan produk yang hendak di jual.

Surat jualan panjang atau pendek ada kelebihannya yang tersendiri. Cara untuk menentukannya adalah memastikan apa yang anda tulis cukup panjang untuk menerangkan apa yang anda jual. Namun, jika sesuatu produk itu mahal, surat jualan biasanya akan lebih panjang di sebabkan pelanggan akan lebih teliti dalam melakukan pembelian.

Kelebihan bagi surat jualan yang panjang.

Lagi banyak maklumat yang tertulis dan pembeli lebih selesa untuk membeli di sebabkan maklumat yang terlebih cukup.
Maklumat yang di beri sudah cukup dan pelanggan tidak akan menganggu anda melalu emel-emel untuk bertanyakan soalan.
Memberi peluang kepada SEO optimization dan lebih keyword akan terlekat.

Kelebihan bagi surat jualan yang pendek.

Pelanggan boleh menangkap apa yang anda jual sebelum mereka hilang fokus.
Website anda lebih cantik dan kemas.
Tidak kelihatan seperti surat jualan yang terlalu hype.

Tanpa mengira panjang atau pendek surat jualan yang anda tulis, kualiti tetap memainkan peranan yang terakhir. Jika penyampaian anda tidak sampai pada pelanggan, surat jualan anda akan menjadi sesuatu yang tidak berguna untuk di baca. Bagi surat jualan yang panjang, anda boleh highlight ayat-ayat yang penting supaya otak mereka akan menangkap maklumat tersebut ketika mereka melalukan scan terhadap surat jualan anda.

Siapa yang paling sesuai untuk menulis surat jualan anda ?

Bagi saya, orang yang paling sesuai untuk menulis surat jualan bagi produk anda adalah anda sendiri. Berikut adalah alasan kenapa andalah yang paling layak untuk melakukan tugas copywriter ini berbanding orang lain:

1. Anda tahu perniagaan anda lebih baik dari orang lain.
2. Anda tahu jenis pelanggan yang anda target dan apa yang anda perlu terangkan pada pelanggan mengenai produk anda.
3. Anda sangat yakin dengan kebolehan produk anda dan ia akan memberi lebih impak dalam surat jualan.
4. Anda mahu pelanggan mengenali anda bukannya orang lain melalui surat jualan.

Namun, kebanyakan usahawan tidak ada masa untuk menulis surat jualan bagi produk mereka. Jadi, mereka akan mengupah freelance copywriter untuk melakukan tugas bagi pihak mereka. Anda boleh upah freelance tetapi anda perlu pastikan copywriter anda itu ada perkara berikut:

Semua maklumat mengenai produk anda.
Telah menguji kehebatan produk anda iaitu tahu mengenai selok belok produk anda.
Surat jualan yang di tulis copywriter membuatkan anda sendiri teruja untuk membeli.
Rekod perkhidmatan adalah cemerlang.

Latihan pertama : Kumpul semua surat jualan, landing page dan artikel pre jualan. Print dan kumpul ia di dalam satu file untuk di jadikan rujukan pada masa hadapan iaitu ketika anda ingin menulis surat jualan.

Bagaimana hendak menulis surat jualan seperti seorang professional?

1. Lakukan kajian sepenuhnya terhadap produk yang anda hendak tulis.

Jika anda tidak yakin akan kelebihan yang ada pada produk anda, surat jualan anda akan kurang impaknya. Anda perlu yakin akan kelebihan produk anda. Jika ia adalah produk anda sendiri, ia mungkin anda lebih biasa dan yakin. Namun, jika ianya adalah produk affiliate, anda perlulah terlebih dahulu melakukan kajian untutk mendapatkan maklumat yang cukup mengenainya.

2. Belajar perbezaan antara faedah  dan apa yang produk itu mampu lakukan.

Soalan pertama yang akan muncul di dalam minda pelanggan adalah apa yang produk ini boleh lakukan pada mereka? Apa faedah yang mereka akan dapat jika mereka membeli produk dari anda? Mereka lebih ligat berfikir untuk mengetahui apa yang produk anda mampu berikan pada mereka berbanding apa yang produk tersebut mampu lakukan.

Contohnya televisyen membolehkan anda untuk menonton rancangan-rancangan yang menarik. Namun, mereka tidak terpikat dengan apa tugas televisyen tetapi mereka lebih terpikat untuk mengetahui faedah televisyen kepada mereka. Adakah produk anda akan menjadikan mereka lebih kaya, lebih kacak, lebih cantik, lebih kurus, lebih tenang dan sebagainya.

Berikut adalah contoh bagi produk IM

Produk = Internet Marketing
Apa yang produk ini mampu lakukan = bekerja di rumah.
Kelebihan produk ini = masa kerja yang fleksibel dan membolahkan anda meruangkan lebih masa untuk bersama anak-anak.

Anda perlu pikat pengguna melalui kelebihan produk berdasarkan apa yang produk anda mampu lakukan.

3. Latihan membentuk kesempurnaan.

Surat jualan yang hebat tidak terjadi dalam masa satu malam. Ia perlukan masa dan pengalaman. Setiap hari, anda cuba tulis surat jualan untuk produk anda atau untuk produk affiliate. Asah bakat anda pada setiap hari.

4. Biasakan diri untuk edit surat jualan yang anda tulis.

Baca berulang kali dan cuba cari kesalahan yang ada pada surat jualan anda. Jadi jujur pada diri sendiri. Setiap ayat dan ungkapan yang anda tulis perlulah ada tujuan. Jika anda nampak apa-apa kesalahan yang ada pada surat jualan anda, jangan halang diri anda dari delete tulisan tersebut.

5. Tingkatkan kredibiliti surat jualan anda.

Berikut adalah beberapa cara untuk meningkatkan kredibilit surat jualan anda

Testimoni yang berkualiti tinggi dan benar.
Masukkan kes study bagi produk anda untuk membuktikan kelebihan bagi produk anda.
Masukkan bonus bagi pembelian produk anda
Jaminan wang di kembalikan.

6. Bayangkan bakal pelanggan anda.

Surat jualan haruslah berbentuk peribadi untuk memberi tanggapan yang baik kepada pembaca surat jualan. Intonasi dan penggunaan ayat haruslah seperti anda sedang bercakap secara berhadapan dengan pelanggan. Selain itu, anda harus dapat membayangkan jenis emosi yang ada pada manusia yang akan membaca surat jualan anda. Anda perlu bayangkan prospek pelanggan anda.

Sebagai panduan, anda tanya soalan berikut pada diri anda:

Berapa umur pelanggan anda?
Adakah mereka bekerja?
Apa yang mereka lakukan?
Adakah mereka lelaki atau perempuan?
Barapa banyak masa mereka akan online?
Berapa pendapatan mereka?
Tahap pelajaran mereka?
Apa yang mereka lakukan untuk meluangkan masa.
Berapa ramai anak mereka ada? Berapa umur anak-anak mereka ?
Adakah mereka mempunyai rumah sendiri?
Adakah mereka mempunyai halaman rumah yang luas.

Ia hanyalah soalan contoh sahaja. Anda boleh cetuskan soalan yang releven dengan produk anda sahaja. Luangkan masa untuk mengetahui latar belakang pelanggan anda.

Latihan kedua : Ambik tahu target pasaran anda dan tulis secara lengkap mengenai latar belakang pelanggan anda. Gunakan imaginasi dan lakukan pembacaan tambahan jika buntu.

Bagaimana hendak memotivasikan orang untuk membeli?

Surat jualan yang tiada motivasi untuk membeli adalah surat jualan yang sia-sia. Penggunaan perkataan dan konsep penceritaan perlulah sesuatu yang boleh membangkitkan perasaan teruja untuk membeli produk anda.

Psikologi membeli.

1. Adakah produk anda boleh memberi kebahagian kepada pembeli? 
Pelanggan anda perlu percaya bahawa produk anda akan memberi tambah nilai dalam kehidupan mereka. Di dalam surat jualan, anda perlu senaraikan segala faedah iaitu apa yang boleh membuatkan pelanggan gembira jika mereka membeli produk anda. Antara contoh faedah ialah

Jimat wang.
Jana pendapatan lebih
Membuatkan hidup lebih mudah.
Menjadikan diri mereka lebih menarik, cantik , kurus, dan sebagainya.

2. Tulis sebagai pembaca. 
Ketika menulis surat jualan, anda letakkan diri anda sebagai pembaca surat jualan iaitu pelanggan. Apa yang diri anda sebagai pelanggan mahukan, anda masukkan di dalam surat jualan. Tenggelamkan diri anda dalam masalah-masalah pelanggan dan wujudkan penyelesaian melalui produk anda. Strategi yang bagus adalah ambik tahu apa yang pelanggan anda sedang usahakan dan tunjukkan pada mereka bahawa produk anda mampu membantu mereka untuk melakukannya dengan lebih baik.

3. Takutkan pelanggan. 
Surat jualan anda akan lebih efektif jika anda masukkan elemen takut untuk tidak membeli produk anda. Ia lebih memberi impak dari menulis sesuatu untuk memaksa orang membeli produk anda. Nyatakan dengan jelas apa yang mereka bakal hilang jika mereka tidak membeli produk dari anda.

4. Wujudkan pihak ketiga untuk menjadi jurucakap bagi produk anda. 
Contonya adalah kajian kes bagi keberkesanan produk anda dan testimoni dari pembeli sebelum ini.

5. Tulis apa yang pelanggan anda mahu anda beritahu pada mereka.

6. Jadikan ia seperti perbualan. 
Tanya mereka soalan dan berikan jawapan yang terbaik untuk soalan rekaan anda itu. Perbualan akan menjadikan pembaca untuk terus membaca kerana mereka terasa seperti mereka terlibat dengan produk anda.

Latihan Ketiga : Senaraikan segala faedah yang terdapat dalam produk anda. Dari faedah-faedah tersebut, anda senaraikan apa yang boleh membuatkan pelanggan gembira jika mereka membeli produk anda. Selepas itu , anda senaraikan pula segala rugi yang pelangggan perlu tanggung jika mereka tidak membeli produk anda sekarang.


Kuasa penggunaan perkataan yang berimpak tinggi.

Apa sahaja produk yang anda promosikan, penggunaan perkataan atau ungkapan tertentu boleh membantu untuk meningkatkan kualiti surat jualan anda. Tarik perhatian pembaca surat jualan melalui keghairahan terhadap produk anda. Gunakan perkataan-perkataan yang positif untuk menggambarkan produk anda. Penggunaan perkataan negatif adalah hanya ketika anda menulis kerugian yang perlu di tanggung oleh pembaca kerana tidak membeli produk yang anda jual.

Contoh perkataan berimpak tinggi adalah:

Peluang
Seumur hidup
Terbukti
Segera
Esok di jamin berkesan.
Jaminan 100 percent
Berjaya
Eksklusif


Penggunaan kata ganti nama.

Kelebihan menggunakan kata ganti nama saya adalah ia boleh mewujudkan hubungan peribadi antara anda dan pembaca anda. Ia memberi tanggapan yang anda sedang bercerita mewakili diri sendiri. Ia akan membuatkan pembaca untuk lebih percaya dan gembira untuk membaca surat jualan anda sehingga habis.

Namun,  kebanyakan copywriter menganggap penggunaan perkataan anda juga memainkan peranan yang penting dalam menghasilkan surat jualan yang bagus. Ini keranan perkataan anda bermakna anda sedang memberitahu sesuatu kepada si pembaca. Lalu, pembaca akan lebih fokus atas apa yang mereka baca.

Walau bagaimanapun, penggunaan perkataan saya dan anda amat penting dalam penulisan surat jualan. Anda gunakan kata ganti nama saya untuk menceritakan situasi dan perkataan anda untuk memberitahu sesuatu kepada si pembaca.

Pikat hati pembaca untuk terus membaca,

Kebanyakan pengguna internet akan terus membaca surat jualan anda jika mereka tertarik dengan headline anda. Namun, jika perenggan pertama tidak sama dengan headline anda, mereka akan berhenti membaca kerana mereka sudah hilang minat untuk membaca sesuatu yang mereka tidak mahu dengar atau tahu.

Berikut adalah antara perkataan yang anda boleh guna di dalam headline untuk memastikan pembaca untuk terus membaca perenggan seterusnya:

- Anda
- Baru
- Bagaimana.

Pembaca selalunya tertarik pada headlines yang agak misteri iaitu membuatkan si pembaca teruja dan tertanya-tanya. Bila pembaca sudah tertarik dengan headline anda, mereka akan membaca ayat pertama di perenggan pertama. Jadi, ayat pertama anda haruslah sambungan kepada headlines anda. Manusia tidak suka berteka teki, mereka mahukan jawapan dengan pantas. Jadi, anda beri sahaja jawapan yang mereka mahu pada perenggan pertama.

Jika pembaca berhenti baca di perenggan pertama, ia tidak mengapa kerana matlamat anda untuk memberitahu kepada pembaca mengenai produk anda sudah tercapai. Lagipun anda mahu menjual barang bukannya mahu mereka membaca surat jualan anda dan akhirnya tidak membeli.

Latihan keempat : buat latihan untuk menulis headline yang menarik. Pilih satu produk atau produk anda sendiri, tulis berbagai headline.



Lima kesilapan utama dalam surat jualan dan bagaimana hendak mengatasinya.

1. Surat jualan yang menggunakan ayat yang terlalu complicated.

Pembeli tidak suka berfikir, mereka mahukan sesuatu maklumat adalah dalam bentuk straigtforward. Jadi, anda jangan masukkan ayat atau ungkapan yang boleh mengelirukan pembaca.

2. Biarkan pembaca berfikir.

Jangan terlalu penuhkan page ministe anda dengan maklumat sehingga menyusahkan pembaca untuk membaca maklumat yang anda ingin sampaikan. Susun perenggan dengan teliti. Jarakkan ruang yang mencukupi antara perkataan untuk membolehkan pembaca membaca dengan mudah. Gunakan tulisan yang sesuai untuk di baca.

3. Memberitahu apa yang produk mampu lakukan.

Jangan terlalu highlight fungsi produk anda. Cukup sahaja dengan penerangan umum dan lebihkan pada faedah produk anda. Apa yang produk itu mampu lakukan untuk menyenangkan si pembeli tadi.

4. Meletakkan button BUY NOW tanpa arahan susulan.

Kebanyakan surat jualan hanya menyatakan beli produk ini sekarang dan sebagainya tetapi mereka tidak menunjukkan cara untuk membeli. Di butik contohnya, pembeli akan bertanya, berapa ringgit untuk harga sehelai baju. Kemudian, juru jual akan beri arahan pada pembeli tadi untuk membayar di kaunter.

Pendek kata, anda perlu mempersilakan pembaca surat jualan anda untuk melakukan pembayaran bagi mendapatkan produk anda. Tunjukkan pada mereka cara-cara yang sehalus mungkin supaya mereka tenang dan selesa untuk melakukan pembayaran.

5. Tiada konsistensi.

Adakah surat jualan anda mempunyai headline yang mantap? Jika ya, baguslah. Namun, surat jualan anda perlu konsisten. Ini bermakna jika headline anda mantap, ayat-ayat di dalam surat jualan anda juga perlu mantap. Teruskan momentum ayat headline anda dengan menggunakan ayat-ayat yang sentiasa menarik.

Jangan terlalu takut untuk menulis surat jualan. Tiada yang lebih mengetahui mengenai perniagaan anda selain anda sendiri. Tulis apa sahaja yang anda rasa menarik dan perbaikinya di masa hadapan secara berperingkat. Prinsip yang anda perlu pegang adalah surat jualan boleh di perbaiki. Jadi, jangan takut untuk ekspresi idea anda.

7 langkah menulis surat jualan yang bagus.

1. Pastikan anda kenal target pasaran anda. Jika produk anda niche ibu bapa, tulis surat jualan seperti anda bercakap kepada ibu bapa.

2. Tulis semua faedah produk anda.

3. Kesan masalah semasa yang perlu di selesaikan dan apa yang produk anda mampu lakukan untuk menyelesaiakan masalah tersebut.

4. Kenapa masalah yang membelenggu mereka masih tidak selesai walaupun mereka telah berusaha bermacam-macam cara, kesan masalah ini dan kaitkan penyelesaian dengan produk anda.

5. Tulis kemungkinan yang anda. Ia bermaksud jika mereka membeli produk anda, apa kemungkinan yang terjadi pada diri mereka. Contohnya, anda menjual produk kuruskan badan, anda boleh tulis pada surat jualan bahawa mereka mungkin akan memperoleh teman wanita jika mereka kurus dan menarik.

6. Perbezaan ketara. Tunjukkan produk anda mampu memberi perbezaan yang ketara pada pembeli. Di sini masukkan kajian kes dan testimoni.

7. Tunjukkan pada pembeli cara hendak membeli produk anda.

No comments:

@templatesyard